Rosyam Nor satukan pelakon Melayu & Cina dalam Balistik
Ditulis oleh Shikin Hassan    Rabu, 11 Julai 2012 15:34   

Selepas kejayaan filem Castello pada tahun 2004, pelakon terkenal Rosyam Nor menerusi syarikat produksinya Suhan Movies & Trading tampil sekali lagi dalam satu filem ala gangster yang berjudul Balistik. Balistik dilihat berbeza dengan filem gangsterism yang lain kerana ia kali pertama menggabungkan pelakon-pelakon terkenal Melayu dan Cina.

Mereka ialah Rosyam Nor, Ady Putra, Rita Rudaini, Tania Hudson, adik Rykarl, Datuk Rahim Razali, pelakon Cina terkenal Jack Lim, Jeff dan Gan Mei Yan.

Menurut Rosyam yang ditemui dalam majlis pelancaran filem Balistik di Holiday Villa, Subang Jaya, gabungan itu adalah satu percaturan untuk dia mengembangkan khayalak penonton dengan lebih luas dengan tidak memfokus kepada sasaran Melayu semata-mata. Justeru bagi pembikinan Balisitik, Suhan Movies telah menjalinkan usahasama dengan syarikat Asia Tropical Films Sdn. Bhd. (ATF).

``Dah lama saya nak menggabungkan artis pop Melayu dengan artis pop Cina dalam satu filem. Sebab saya nak penonton yang datang ke panggung itu sekurang-kurangnya 30 peratus daripadanya adalah masyarakat Cina.

``Bukan setakat pelakon saja yang saya gabungkan, tetapi saya juga menggunakan khidmat pengarah Cina yang terkenal iaitu Silver. Saya dah lama tengok filem dan drama arahan Silver dan dia memang sangat berbakat besar. Skrip Balistik juga ditulis ileh Silver. Pengarah stunt pun saya gunakan khidmat dari Hong Kong.

``Bila saya menggunakan ATF sebagai rakan niaga dalam filem ini, sasaran saya bukan untuk tayangan di Malaysia saja tapi juga ke pasaran Taiwan, Hong Kong atau Thailand sebab mereka ada rangkaian perniagaan di sana. Ini antara sebab saya memilih usahasama dengan ATF.

``Kalau ada yang tersenyum sinis tentang usaha saya ini, terpulanglah. Bagi saya ini adalah titik permulaan kepada filem Melayu untuk memasuki pasaran masyarakat lain dan juga ke luar negara. Lepas ni, mungkin produser lain pun boleh buat perkara yang sama.

``Saya beri jaminan filem ini memang lain dari lain. Kalau filem gangsterism yang lain lebih kepada aksi bertarung, Balisitik pula ialah permainan senjata. Plot cerita ini tak mungkin oleh diteka dari peringkat awal. Yang penting, penonton tak sempat pun nak ke bilir air kalau tengok Balistik nanti. Hahaha.. ,'' kata Rosyam.

Filem Balistik yang menelan belanja hampir RM3 juta ini berkisar mengenai hidup Saga (lakonan Rosyam Nor) seorang pembunuh upahan yang juga suami kepada Salina (Rita Rudaini). Mereka dikurniakan anak lelaki bernama Rykarl. Gaya hidup Saga yang bahaya memaksa dia berpisah dengan Salina tetapi membawa Rykarl bersamanya. Enam tahun kemudian Saga membina kejayaan dalam dunia gangsterism. Dia kemudian dipertemukan semula dengan Salina yang ketika itu telah berkahwin dengan Nizam (Ady Putra), seorang pegawai polis. Nizam dan Saga sebenarnya adalah rakan baik sewaktu  di rumah anak yatim. Lantas Saga dan Nizam tersepit dalam dua situas apabila Nizam ditugaskan untuk menghapuskan Saga dan Saga pula menerima arahan untuk membunuh Nizam.