Rem masih bersemangat
Ditulis oleh Shikin Hassan    Ahad, 06 Januari 2013 16:58   

Penyanyi Rem semakin kurang pendedahan di media dan di kaca TV. Tapi sebenarnya sejak dulu hingga sekarang penyanyi lagu Semua Orang Tahu itu tidak pernah berhenti menyanyi.

Dia masih ada semangat untuk menghasilkan single baru lagi walaupun ada single yang dihasilkannya kurang mendapat perhatian. Dia percaya selagi ada kudrat selagi itulah dia kena berusaha. Rem kelihatan terlibat dalam show menyambut tahun baru baru-baru ini.

"Saya sebenarnya tak pernah berhenti menyanyi... ada sahaja undangan mengadakan persembahan khususnya persembahan melibatkan makan malam anjuran syarikat korporat.

"Mereka masih percaya kepada saya untuk menjadi penghibur dalam majlis yang mereka anjurkan.

"Agaknya sebab saya ni jarang muncul dalam akhbar dan majalah, ada yang beranggapan saya sudah tak aktif. Tambahan pula saya sekarang ni bergerak sendiri, tak ada wakil syarikat untuk mempromosikan nama saya. Bila buat sendiri ni saya kena lakukan segala-galanya sendiri.

"Memanglah banyak kerja... tapi yang menariknya kita tak terikat dengan sesiapa untuk menentukan apa yang kita nak buat. Untuk single baru ni saya ada juga terfikir untuk mendapatkan khidmat komposer Indonesia... atau kalau payah nak dapat saya rakam lagu ciptaan sendiri," kata Rem.